Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Senarai IWL bantu kekang penstriman haram - CMCF

Senarai IWL bantu kekang penstriman haram - CMCF
Kumpulan cetak rompak digital menggunakan platform Facebook Live dan Instastory Live ketika menonton filem di pawagam hingga mendapat likes selain dikongsi oleh pengguna media sosial berkenaan. -Gambar fail
PETALING JAYA: Kegiatan penstriman haram yang kian berleluasa di internet masa kini banyak menimbulkan kegusaran terutamanya dalam kalangan pemilik hak cipta.

Untuk itu, langkah pemantauan melibatkan penyenaraian laman web haram yang melanggar hak cipta (IWL) dilancar pada Selasa bertujuan mengekang kegiatan tersebut dengan pembabitan pihak pengiklan dan agensi pengiklanan.
Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) Datuk Izham Omar berkata langkah penyenaraian IWL itu penting dalam memastikan industri media dan pemasaran kekal berdaya saing selain tidak terus dilanda kerugian akibat kemunculan kumpulan cetak rompak digital serta pengiklanan di laman web haram.

"Dalam dunia digital kini, terdapat pihak yang menyediakan kandungan secara haram dan mengaut keuntungan menerusi pengiklanan.
"Menerusi IWL, kita boleh mengenal pasti laman web haram dan terus memberitahu syarikat pengiklanan supaya memaklumkan kepada agensi mereka untuk tidak menempatkan iklan di laman web terbabit," katanya ketika ditemui sempena Forum Cetak Rompak Kandungan anjuran CMCF di Cybertorium, Menara The Star, di sini.

Izham, dalam pada itu, melahirkan kebimbangan bahawa industri media bakal mengalami kerugian sekiranya perkara itu tidak dibendung.

Ujarnya, semua pemain industri perlu cekap dan bekerjasama mengatasi masalah itu dan pelancaran senarai IWL adalah tepat pada masanya.

Selain itu, Izham mendedahkan kumpulan cetak rompak digital itu turut menggunakan media sosial untuk menambah jumlah likes.

Katanya, mereka menggunakan platform Facebook Live dan Instastory Live ketika menonton filem di pawagam hingga mendapat likes selain dikongsi oleh pengguna media sosial berkenaan.

"Perkara ini amat menyedihkan kerana mereka tidak mengetahui tindakan merakam menggunakan Facebook Live atau Instastory Live adalah salah di sini undang-undang.

"Apabila ada 10,000 penonton menonton rakaman yang dikongsi di Facebook Live atau Instastory Live, syarikat filem telah kerugian RM100,000," katanya.

Turut hadir dalam Forum Cetak Rompak Kandungan ini adalah Pengarah Pengasas Pusat Promosi Kandungan (CCP), Frank Rittman; bekas Penasihat Hakta Intelek kepada Perdana Menteri Britain, Mike Weatherley; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim; Pengarah Serantau Operasi Digital MPA International, Oliver Walsh; dan Presiden MSA, Yap Chee Weng.

Berdasarkan hasil kaji selidik Alexa Data pada Ogos lalu, statistik menunjukkan jumlah tontonan di lima laman web haram mencecah 71.4 juta tontonan manakala jumlah tontonan di lima laman web sah tertinggi di Malaysia mencatatkan hanya 21.9 juta tontonan.

Di Malaysia khususnya, tontonan di laman web haram adalah 3.25 kali ganda lebih tinggi berbanding laman web sah seperti Astro atau netflix.com.