Seni visual Malaysia dipromosi ke peringkat global untuk jana pelaburan

Seni visual Malaysia dipromosi ke peringkat global untuk jana pelaburan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mempromosi seni visual ke peringkat global bagi menjadikan cabang seni itu sebagai industri yang menjana pelaburan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bidang seni visual begitu signifikan dalam membina jati diri dan negara bangsa selain menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
"Konsep dan peranan seni telah berubah daripada seni untuk seni kepada seni untuk perpaduan dan melebar kepada seni sebagai penyumbang pembangunan ekonomi," katanya ketika berucap merasmikan pameran Pancawarna Karya Pilihan: 1990-2012 Sharifah Fatimah Syed Zubir di Balai Seni Visual Negara di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata visi kementerian bukan sahaja untuk meningkatkan imej negara sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini tetapi juga menjadikan seni sebagai penyumbang utama ekonomi negara.
"Seni turut berperanan ke arah mewujudkan bangsa Malaysia yang berbudaya luhur melalui pelaksanaan misi untuk menyemarak seni budaya dan mengekalkan warisan negara," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu merealisasikan impian untuk menjadikan seni visual negara sebagai 'wajah kita', 'bangsa kita' dan 'pemikiran kita' yang dizahirkan melalui karya-karya seni yang menyatupadukan rakyat.

Mohamed Nazri berkata Balai Seni Visual Negara dapat memainkan peranan yang lebih dominan dan kompetitif untuk mencapai matlamat itu.

Dalam ucapannya beliau turut menyeru golongan seniman agar terus berkarya dengan lebih kreatif dan inovatif agar dapat mengukir nama di persada antarabangsa.