Seniwati Neng Yatimah, 92 telah menghembuskan nafas terakhir di Singapura jam 10 pagi tadi.

Dikenali sebagai bintang air mata dengan watak-watak sedih yang sering didokong oleh Neng terutamanya dalam produksi Jalan Ampas, Singapura itu merupakan ibu kepada pelakon Roseyatimah dan ibu mentua kepada pelakon dan produser filem, Datuk Mustapha Maarof.

Masalah jantung dan kanser kolon yang dihidapi Neng semakin kritikal pada penghujung tahun 2014.

Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad dijaga cucu saudaranya, Isa Sawi di Singapura.

Setelah disahkan menghidap kanser, Neng Yatimah telah beberapa kali menerima rawatan di hospital di Republik itu, namun selepas itu beliau enggan meneruskan rawatan susulan.

Neng Yatimah dilaporkan enggan menetap di Malaysia atas alasan ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura.

Dilahirkan di Singapura pada 1924, Neng Yatimah dikenali melalui filem pertamanya berjudul, 'Takdir Ilahi'.

Sinarnya sebagai bintang filem lebih menyinar selepas membintangi beberapa buah filem termasuk 'Batu Belah Batu Bertangkup', 'Siapa Salah', 'Laila Majnun' dan 'Seri Mersing'.

Filem terakhir lakonan Neng berjudul 'Mama Oh Mama' dan diarahkan oleh Datuk A.Mahmood pada tahun 1981.

Neng Yatimah dinobatkan Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 pada tahun 1997.