Sebanyak 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 sehingga Mei 2017 dengan purata sebanyak 3,176 kes setahun.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Abu Bakar, jumlah itu merangkumi kes rogol sebanyak 13,272 kes diikuti cabul (6,014 kes), sumbang mahram (1,796 kes) dan perbuatan luar tabii (1,152 kes).

"Kalau tengok kes-kes ini, mereka (pelaku) sangat mesra dengan kanak-kanak kerana mereka hendak kanak-kanak itu terpengaruh dengan mereka.

"Sebab itu, dalam keadaan begini, kita sebagai ibu bapa perlu mendidik anak-anak kita tentang batas…Kalau seseorang itu rapat dengan anak kita, contohnya bapa saudara, apakah batas-batas yang perlu kita jaga," katanya pada Isnin.


Tambah Dr Faridah, kajian juga menunjukkan seorang daripada empat kanak-kanak perempuan dan seorang daripada enam kanak-kanak lelaki menjadi mangsa penderaan seks sebelum berumur 18 tahun.

Beliau turut menyeru supaya masyarakat memainkan peranan dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan apa-apa jenayah membabitkan kanak-kanak.