Selepas sehari pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan dan kemudian dibebaskan, pihak polis telah menahan seorang lagi aktivis iaitu Lawrence Jeyaraj kerana memuat naik komen yang berbaur fitnah di akaun Facebooknya.

Peguam yang mewakilinya, Michelle Yesudas, mengesahkan bahawa aktivis itu telah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mempamerkan status tersebut dalam laman media sosialnya, namun tiada maklumat lanjut mengenai perkara itu, lapor portal Malay Mail Online.

“Dia akan ditahan sehingga pagi esok (Sabtu) sehingga sesi pendengaran reman. Ia berkaitan status Facebooknya tapi saya tidak pasti yang mana satu ,” kata Michelle.

Semalam, Ketua Polis Dang Wangi, Zainuddin Ahmad memberitahu bahawa Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan telah ditahan berikutan kenyataannya di media sosial yang mempertikai keputusan mahkamah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa hukuman pemenjaraan tersebut bermotif politik.

Arutchelvan telah dibebaskan pada Jumaat selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk memanjangkan tempoh reman.