Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia

Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia
Jumaat lepas, lima sekeluarga rakyat Malaysia terlibat kemalangan ketika bercuti di negara berkenaan.
KOTA KINABALU: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.

Mangsa itu adalah Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.

"Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Putatan di sini hari ini.

BACA: Tiga warga Malaysia maut nahas di New Zealand

BACA: Keluarga sepakat kebumikan mangsa kemalangan di New Zealand


Menurut Afifah, kesemua jenazah dijangka dikebumikan esok dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.

Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.

Katanya, anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, mendapat rawatan di Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang baru tiba tengah hari tadi waktu tempatan.


Jumaat lepas, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

-- BERNAMA


Tag: rakyat malaysia, maut kemalangan, kemalangan new zealand, meninggal dunia, warga malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.