Tutup

Seorang lelaki ditahan bersama ratusan senjata api tiruan di Kota Kinabalu

Seorang lelaki ditahan bersama ratusan senjata api tiruan di Kota Kinabalu
Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan kerana disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
KOTA KINABALU: Sebanyak 151 set pelbagai jenis senjata api tiruan dan 283 unit komponennya yang bernilai RM60,000 berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kompleks beli belah di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi bermula jam 3.30 petang itu turut menyaksikan tangkapan seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat orang ramai, pihaknya membuat serbuan di premis tersebut sebelum membawa kepada rampasan kesemua set serta komponen senjata api tiruan itu.

"Pihak polis telah membuat pemantauan kepada lelaki tersebut yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis sebelum mengadakan serbuan berkenaan.
Senjata api tiruan yang dirampas polis Kota Kinabalu.

"Setelah hampir 15 minit mengekorinya, kita menyerbu premis tersebut yang terletak di tingkat dua bangunan beli belah berkenaan sebelum menemukan barang rampasan yang diletakkan di dalam kotak berupa 151 set pelbagai jenis senjata api tiruan dan 283 unit komponennya yang bernilai RM60, 000," katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Habibi berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 35 (1) Akta Senjata 1960.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.