Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung berhampiran Rumah Aman Pengasih Aman Jaya, dekat sini, petang Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 7 petang itu dua lelaki dan tiga wanita mengalami kecederaan parah, manakala seorang kanak-kanak perempuan mengalami cedera ringan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Penguasa Bomba Mohd Kamarulzaman Mohd Nawawi berkata, kejadian itu membabitkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Perodua Myvi yang bertembung.

Beliau berkata, kesemua tujuh mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan orang awam.

“Lelaki berada di dalam kereta Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan manakala seorang rakannya mengalami kecederaan parah.

“Kami juga mendapati antara lima mangsa yang menaiki Proton Saga itu, empat mengalami kecederaan parah manakala seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya menerima panggilan sekitar 7.18 malam dan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebaik tiba di lokasi kejadian.

Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat sekitar 8.35 malam.