Tengahari semalam telah berlaku satu pertempuran di kampung Tanjung Batu yang menyebabkan seorang musuh dibunuh dan seorang wanita telah berjaya ditangkap oleh pihak keselamatan.

Pihak keselamatan juga mengesan terdapat lapan orang wanita dalam kumpulan musuh.

Wanita yang telah ditangkap dianggarkan berumur sekitar 40an dan tidak bersenjata.

“Ini menjadikan jumlah mayat yang berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi ialah 30 orang. Seorang daripadanya telah dibunuh pada 6 Mac yang lalu. Dua mayat ini akan menjalani proses bedah siasat dan pemprofilan DNA” kata Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kepada pemberita.

Menurut Zulkifeli juga seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tercedera kerana terkena serpihan peluru di jari kiri semasa satu pertempuran pada pukul 11:30 pagi semalam.

Namun begitu anggota ATM tersebut berada dalam keadaan stabil setelah pembedahan mengeluarkan serpihan peluru itu telah selamat dilakukan.

Menjawab soalan dari pemberita, Zulkifeli berkata langkah-langkah keselamatan telah diambil untuk memperketatkan lagi laluan sepadan di antara dua negara, namun begitu pihak keselamatan tidak menghalang rakyat Filipina untuk datang ke negara ini jika menggunakan saluran yang betul dan bertujuan baik seperti bekerja.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengulas soalan orang ramai mengenai bila mereka boleh kembali ke kampung masing-masing.

“Kami akan membuat penilaian mengenai kerosakan dan keselamatan di kawasan-kawasan yang terlibat terutamanya kampung Tanduo dan kemudian akan memutuskan bila orang ramai boleh kembali ke kampung masing-masing”

Dalam pada itu usaha-usaha membersihkan kampung Tanjung Batu masih lagi diteruskan.

Dalam sidang media hari ini, Khalid turut memaklumkan bahawa lapan orang pengganas Sulu yang dituduh semalam di Mahkamah Majistret Lahad Datu telah dibawa ke Tawau untuk dituduh di Mahkamah Tinggi Tawau.

Pendengaran kes akan dilakukan pada 19 April ini.