Seorang pekerja binaan maut, manakala seorang lagi terselamat dalam kejadian tanah gelongsor berhampiran tapak pembinaan kondominium di Jalan Segambut Dalam, Taman Segambut, petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nazmul Hossain, seorang warganegara Bangladesh.

Ketua Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Samsol Maarif Saibani berkata, mayat pekerja warga Bangladesh itu ditemui mati tertimbus pada kedalaman kira-kira enam meter, pada 6..08 minit petang tadi.

Menurutnya, seorang lagi pekerja rakyat tempatan yang berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami kecederaan.

"Punca kejadian masih disiasat dan ia dipercayai berpunca akibat tanah lembut serta faktor hujan pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Samsol berkata, pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 3.57 petang tadi dan tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seri Hartamas, Jinjang, dan Taman Tun Dr Ismail bersama 20 anggota hdihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, mangsa pertama berumur 28 tahun berjaya dikeluarkan dalam tempoh 15 minit.

Turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat adalah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, JPAM serta polis.