Seorang tersepit, dua selamat kemalangan jalan raya di Kanowit

Seorang tersepit, dua selamat kemalangan jalan raya di Kanowit
Dalam kejadian di Jalan Nibong Tada di Kanowit malam tadi, pemandu kereta tersebut didapati telah tersepit akibat kemalangan yang terjadi. Foto JBPM Sarawak
KANOWIT: Seorang pemandu dilaporkan tersepit dan tidak sedarkan diri manakala dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kereta mereka terlibat dalam satu kemalangan di sini.

Kejadian melibatkan Perodua Alza yang dinaiki mereka yang sedang dalam perjalanan di Jalan Nibong Tada di sini malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, pihak bomba yang menerima laporan mengenai kemalangan sekitar jam 11.35 malam telah mengerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, Komander Operasi terus membuat size up di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki iaitu pemandu kenderaan tersebut tidak sedarkan diri dan telah tersepit.

"Selain itu, dua lagi mangsa tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar dengan sendiri," katanya.

Foto JBPM Sarawak

Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mereka diserahkan kepada pihak Hospital Sibu yang turut berada di lokasi kejadian, untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Minggu anak Akam, 39 tahun, manakala dua yang terselamat dikenali sebagai Tejah anak Imang, 36 tahun, dan Christian Valentino Rossi, 15 tahun, anak kepada Minggu.