Sepasang suami isteri ditahan dera anak asuhan sehingga mati

Sepasang suami isteri ditahan dera anak asuhan sehingga mati
Shamsul Amar berkata, semasa pegawainya membuat siasatan ke atas pasangan berkenaan, pegawainya turut membuat pemeriksaan fizikal ke atas tiga kanak-kanak yang dibawa bersama. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis menahan sepasang suami isteri semalam kerana disyaki mendera sehingga mati anak asuhan mereka yang berusia empat tahun pada 29 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata berdasarkan siasatan awal pasangan rakyat tempatan berusia 36 dan 30 tahun itu turut dipercayai mendera seorang lagi anak asuhan mereka dan dua orang anak mereka.

"Pada Ahad lepas kami menerima panggilan pada kira-kira 1.20 tengah hari melaporkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Yadi Klang dan kematian kanak-kanak itu disahkan oleh pasukan kecemasan yang dikejarkan ke tempat kejadian.

"Bedah siasat yang dijalankan pada keesokannya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, mendapati bahawa punca kematian adalah kerana kecederaan intra abdomen akibat hentakan objek tumpul serta terdapat kira-kira 41 kesan kecederaan baru dan lama di tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya berikutan itu pihak polis telah menahan sepasang suami isteri yang juga merupakan pengasuh kepada mangsa pada kira-kira 11 pagi semalam.

Tambah Shamsul Amar, semasa pegawainya sedang membuat siasatan ke atas pasangan berkenaan, pegawainya turut membuat pemeriksaan fizikal ke atas tiga kanak-kanak yang dibawa bersama oleh pasangan itu.

"Pemeriksaan di badan kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang merupakan kembar kepada si mati itu terdapat bekas kecederaan baru dan lama disyaki akibat didera oleh kedua-dua suspek.

"Dua kanak-kanak lelaki ini merupakan daripada perkahwinan terdahulu suspek wanita berkenaan dan ketiga-tiga mereka kini ditempatkan di HTAR bagi pemeriksaan lanjut," katanya.

Tambah Shamsul Amar, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA