Seorang pengedar dadah yang dilaporkan bertindak gila dengan cuba membunuh anggota polis ditembak mati dalam satu kejadian di tepi jalan raya Kampung Bakau, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sebanyak 19 bungkus dadah turut ditemui bersama suspek lelaki dipercayai pengedar dadah sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian beliau bersama pasukannya cuba menahan suspek yang sedang menunggang motosikal disyaki dicuri.

"Bagaimanapun suspek enggan berhenti malah cuba melanggar kenderaan polis ketika melarikan diri sehingga terbabas lalu terjatuh.

"Suspek kemudian melarikan diri ke kebun pisang berdekatan namun polis berjaya mengejar dan menghampiri.

"Sebaik dihampiri, suspek bertindak melibas parang ke arah seorang anggota polis dan demi mempertahankan diri beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada Isnin.

Kata Nasri, sejurus selepas itu, suspek terus rebah sebelum dilaporkan meninggal dunia

Tambahnya, pemeriksaan lanjut pada beg suspek mendapati ia berisi 19 bungkusan berisi dadah.

"Ia dipercayai dadah jenis syabu seberat 1.05 kilogram.

"Mayat kemudiannya dihantar ke bilik Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat. Namun identiti suspek belum dikenal pasti setakat ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.