Dua lelaki berdepan 11 pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen atas kesalahan melakukan perbuatan ganas melibatkan membaling dan meletupkan bom tangan hingga mencederakan lapan orang di pusat hiburan Movida, Puchong, 28 Jun lalu.

Imam Wahyuddin Karjono, 20, seorang penganggur dan Junius Ondie @ Jahali, 24, seorang pekerja kilang mengaku bersalah atas semua sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen iaitu memiliki, melempar dan meletupkan bom tangan fius lever jenis Fuze M213 hingga menyebabkan kecederaan lapan orang yang berada di premis tersebut.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, tingkat bawah IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya kira-kira jam 2 pagi.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan 21 September sebagai tarikh jatuh hukum.

Sementara di Mahkamah Majistret, Imam Wahyuddin dan Jonius dituduh bersama-sama membaling dan meletupkan bom tangan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi dan perbuatan itu boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130 C(1)(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Imam Wahyudin pula menerima satu lagi pertuduhan dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan tujuan yang sama melalui aplikasi 'Telegram' miliknya di antara 25 Mac dan 28 Jun lalu di C-4-19, Blok Cempaka, Jalan Indah 1, Puchong.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi kesalahan itu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Mohd Zaki Ashraf Zubir menetapkan 26 September sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Pengarah Pendakwaan Selangor, Roslan Mat Nor memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan di KLANG, dua lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan berkaitan kumpulan militan Daish.

Mohmad Zaini Mohmad Isa, 31, dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu di Lot 539, No F/1, Telok Gadong Kecil, Jalan Yadi, antara 25 Mac hingga 30 Jun lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melindungi dalam penangkapan Jonius yang diketahui telah melakukan perbuatan pengganas, di kawasan belukar lebuh raya Pulau Indah, kira-kira 7.15 malam 29 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 130K(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan denda atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara Roshelmyzan Husain, 31, didakwa mencari sokongan untuk kumpulan pengganas itu melalui aplikasi 'Telegram' di alamat Lot 1616, Telok Kapas, Rantau Panjang, antara 25 Mac hingga 29 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Dia juga didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan di bilik mesyuarat tingkat 1, bangunan Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Nuri Refinery, Lot 27, Pt 234 Lebuh Sultan Mohamed 1, Kawasan Perusahaan PKNS Fasa II, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, kira-kira 2.10 petang pada 29 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1)(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Majistret Nor Asma Ahmad menetapkan 7 September untuk sebutan bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Ampang pula, Fazar Nor Md Redzuan, 33 tahun, dan Mohd Asrol Mohamad, 29 tahun didakwa memberi sokongan dengan melanjutkan perjuangan ideologi keganasan melalui aplikasi 'Telegram' menggunakan telefon bimbitnya.

Fazar Nor didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah blok 11, AU 3/1, Ulu Kelang, pada April hingga 28 Jun lepas sementara Mohd Asrol di No.76, Jalan Dagang 1/2, Taman Dagang, Ampang, Hulu Langat antara 25 Mac hingga 29 Jun lepas.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Fazar Nor pula menerima pertuduhan kedua iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas di hadapan Liberty Insurans Berhad Taman Danau Kota, Off Jalan Genting Klang, pada 1.20 petang, 28 Jun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan dicatatkan bagi kesemua pertuduhan.

Majistret kedua-dua mahkamah, Siti Radziah Kamarudin dan Haslinda A. Raof menetapkan 7 September untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan serangan bom tangan di pusat hiburan di Puchong itu didalangi militan Daish.

Serangan dipercayai dilakukan atas arahan ahli Daish warga Malaysia yang berada di Syria, dikenali sebagai Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.


Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian di Puchong merupakan serangan pertama Daish di negara ini.

Bagaimanapun, Muhammad Wanndy yang dapat dihubungi Astro AWANI menyangkal dakwaan tersebut. Dia menafikan telah memberikan sebarang arahan untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Menurutnya, mereka yang ditangkap cuma penyokong biasa yang menyatakan sokongan kepada khilafah dan mereka tidak pernah sesekali mendapat arahan daripadnya untuk menyerang pemimpin dan para hakim di negara ini.

BACA: 'Saya tidak arahkan serangan di Malaysia' - Militan Daish