Sebuah pasukan akan dihantar bagi membawa pulang satu serpihan yang ditemui di persisir pantai Afrika Selatan, berdekatan bandar Mosselbay, pada awal pagi Selasa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam suatu kenyataan berkata, berdasarkan laporan awal, ia kemungkinan serpihan dari 'inlet cowling' enjin sebuah pesawat dan siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370.

Setakat ini, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) masih berhubung rapat bersama Jabatan Penguatkuasa Penerbangan Awam Afrika Selatan mengenai perkara ini.

Sebelum ini, dua serpihan dipercayai milik MH370 yang ditemui di Mozambique sudah tiba Australia untuk pemeriksaan dan pengesahan.

Julai tahun lalu, satu serpihan yang sudah disahkan merupakan sekeping flaperon, ditemui terdampar di Pantai Pulau Reunion, Perancis.