Rakyat Malaysia digesa tidak terlibat dengan kegiatan yang boleh merosakkan keharmonian negara seperti menyertai perhimpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata kegiatan yang dianjurkan sesetengah pihak ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Sebarang perhimpunan, terutamanya yang berunsur perkauman, tidak kondusif kepada perpaduan negara.

"Saya tidak mengatakan 'mereka' ini tiada hak. Mereka boleh berhimpun secara aman tetapi pada pendapat saya, ini bukan cara untuk menyelesaikan masalah.

"Mereka boleh duduk bersama dan berbincang tentang masalah dan kelemahan yang timbul, dan saya rasa ini adalah cara yang terbaik," kata Joseph kepada media selepas pelancaran Sambutan Hari Malaysia oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, di sini, pada Khamis.

Selain itu, katanya, rakyat perlu menguatkan sifat cintakan negara dan semangat patriotisme memandangkan Malaysia sedang berdepan pelbagai ancaman yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Malaysia berdepan cabaran besar seperti dari kumpulan Daish dan kita mahu rakyat, terutamanya golongan muda, untuk memupuk semangat patriotisme supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda mereka melalui sosial media," kata Joseph.

Mengulas kemungkinan ancaman atau serangan oleh kumpulan pengganas pada Hari Malaysia pada 16 September, beliau yakin ia di bawah kawalan dengan penglibatan pihak polis dan kementerian dalam negeri.