1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan menerima makluman rasmi bahawa sesi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai siasatan 1MDB ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut 1MDB, perkembangan tersebut dimaklumkan secara rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat pada Isnin.

"Hari ini, melalui Kementerian Kewangan, kami menerima makluman rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat/Setiausaha Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bahawa sesi PAC yang dijadualkan pada 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos serta 8 dan 10 September 2015 telah ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," kata 1MDB dalam satu kenyataan media.

Pada masa yang sama, 1MDB mengulangi komitmennya sentiasa menghormati Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebagai pihak berkuasa yang sah dan forum yang paling tepat untuk menjawab sebarang persoalan mengenai 1MDB.

"Kami mempunyai keyakinan bahawa jawatankuasa dwi-partisan ini akan memberi peluang seadilnya untuk 1MDB memberi penjelasan tentang kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa yang sah, mengikut keperluan proses wajar," kata 1MDB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sepatutnya dijadual memberikan keterangan kepada PAC pada. Bekas CEO syarikat itu, Datuk Shahrol Halmi pula ditetapkan memberi keterangan sehari kemudian.

Kehadiran mereka ditunggu-tunggu kerana sebelum ini mereka gagal hadir pada prosiding yang ditetapkan pada 26 Mei lepas.

Selain Arul Kanda dan Shahrol, laporan media sebelum ini menyebut CEO 1MDB antara Mac 2013 hingga Januari 2015, Hazem Abdul Rahman akan dipanggil pada 6 Ogos berdasarkan maklumat-maklumat baharu yang dikumpulkan oleh PAC sepanjang siasatannya.

PAC juga sebelum ini mahu memanggil bekas ahli lembaga pengarah 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Tan Sri Azlan Zainol pada 17 Ogos manakala ahli lembaga pengarah yang lain pada 18 Ogos.

PAC, badan dwi partisan yang menyiasat 1MDB terdiri daripada 13 orang ahli, lapan daripada Barisan Nasional dan lima anggota parlimen pembangkang.

Empat anggota termasuk Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah meletakkan jawatan selepas menerima jawatan Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri pada 29 Julai lalu.

Kini PAC masih mempunyai sembilan ahli - iaitu empat daripada BN dan lima daripada parti pembangkang.