Sesi persekolahan dua daripada tiga buah sekolah di Melaka yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran banjir di Melaka masih ditangguhkan pada esok (Selasa).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di daerah Melaka tengah dan SK Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah.

Manakala sesi persekolahan di SK Taman Merdeka yang menempatkan 186 mangsa melibatkan 46 buah keluarga berjalan seperti biasa.

“Kedua-dua sekolah berkenaan terpaksa ditutup lagi untuk hari kedua ekoran digunakan sebagai PPS yang menempatkan mangsa-mangsa banjir selain jumlah pelajar yang terjejas adalah tinggi.

“Di SK Taman Merdeka, kesemua mangsa banjir ditempatkan di empat bilik, lobi dan pekarangan sekolah. Bagaimanapun tidak menjejaskan sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, jumlah yang terjejas di SK Krubong adalah seramai 1,236 murid dan 71 guru manakala di SK Belimbing Dalam ialah 484 murid dan 40 orang guru.

Katanya, guru-guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir ini diminta untuk hadir ke sekolah seperti biasa, dan pelajar boleh mengulangkaji seperti biasa kerana telah dibekalkan buku teks dan buku latihan.

Ini terutamanya bagi mereka yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) awal September ini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya berkata, setakat jam 8 malam tadi, seramai 943 mangsa membabitkan 212 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS di kedua-dua daerah itu.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 1,001 mangsa sehingga petang tadi.

Jelasnya, bagi daerah Alor Gajah, jumlah mangsa adalah 524 orang daripada 111 buah keluarga yang ditempatkan di lima PPS selepas enam daripadanya telah ditutup secara berperingkat.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah, dua PPS yang masih dibuka menempatkan 410 mangsa daripada 101 keluarga.