Setahun jadi menteri, Saifuddin Nasution beri penilaian 6.5 kepada dirinya

Setahun jadi menteri, Saifuddin Nasution beri penilaian 6.5 kepada dirinya
SAIFUDDIN: Antara pencapaiannya adalah tugasan kementerian sebagai sekretariat untuk Majlis Tindakan Sara Hidup Negara. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penilaian 6.5 untuk diri sendiri menjelang setahun menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jelasnya, penilaian itu diberi mengikut pencapaian selain beberapa agenda yang belum dilaksanakan sepenuhnya.

"6.5, saya letakkan asas 6.5. Pertama, ada beberapa agenda yang sedang saya siapkan dan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kedua, saya berpendapat, agenda belum mencukupi sebab semasa awal masuk dan selepas enam, tujuh bulan menerajui kementerian, perlu beberapa anjakan penambahbaikan.
"Saya tidak boleh beri lebih dari rating yang disebutkan," katanya semasa sidang media khas di kementeriannya di sini, pada Khamis.

Secara peribadi katanya, sasaran penilaian lebih baik akan dicapai dalam tempoh lebih satu tahun tetapi tidak melebihi dua tahun setengah.

Dalam pada itu katanya, antara pencapaiannya adalah tugasan kementerian sebagai sekretariat untuk Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

"Antara idea untuk menggerakkan Program Food Bank dalam masa singkat ini sekali gus satu kejayaan yang saya sendiri rasa sangat dekat dengan inisiatif untuk kebangsaan dan kementerian," ujarnya.

Tambahnya tiga komponen inisiatif di dalam Program Food Bank dilihat pencapaian untuk kementeriannya.

"Nombor satu, ia melahirkan lebih ramai sukarelawan yang memberi bantuan, mereka termasuk ketua komuniti, JKKK masjid, mahasiswa, persatuan belia, mahasiswa.

"Nombor dua, saya dapat bantu mereka yang sangat memerlukan. Kita kena insaf dan sedar dalam segmen masyarakat kita di sana sini ada kelopok yang bergelut hendak dapatkan makanan. Kita bantu tanpa karenah birokrasi.

"Ia juga dapat memberi pendidikan kepada pasaraya, hotel dan pusat jualan makanan untuk mengelakkan pembaziran. Ia memupuk rasa elak pembaziran," jelasnya.

Katanya lagi, program itu akan dijenamakan semula dengan nama Tabung Makanan kelak.



Tag: KPDNHEP, Food Bank, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, Program Food Bank


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.