Genap setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan tahap kualiti hidup rakyat tidak bertambah baik.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, jika keadaan itu berterusan, rakyat akan mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa kurang dua tahun.

“Ya, saya jangkakan begitu (PRU dalam tempoh dua tahun) kerana rakyat bertambah tidak selesa dan rakyat hidup tertekan.

“Jika keadaan ini terus menerus berlaku, rakyat akan mendesak Kerajaan untuk mengadakan pilihan raya semula. Saya jangkakan begitu,” katanya kepada media selepas menghadiri ceramah umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan di sini pada Rabu.

Beliau yang turut dikenali sebagai Tok Mat berkata rakyat kini telah mula sedar bahawa mereka amat tidak berpuas hati terhadap prestasi kerajaan baik persekutuan mahupun kerajaan negeri yang tidak mempunyai sebarang perubahan drastik dalam dasar-dasar awam.

Malah, Tok Mat yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO turut menyifatkan segala apa yang dilakukan kerajaan hanya perubahan kosmetik atau luaran kesinambungan daripada apa yang dilakukan BN sebelum ini.

“Yang ada cuma perubahan kosmetik atau cuma menukar nama-nama dasar kerajaan BN dahulu yang pernah satu ketika mereka sebut ia merupakan (dasar) yang menzalimi rakyat seperti AES dan BR1M dan kini semuanya diteruskan.

“Tetapi ada pula dasar-dasar lain yang tidak dijanjikan dalam manifesto PRU14, mereka beria-ia nak adakan seperti hendak menandatangani perjanjian antarabangsa ICERD, deklarasi Rom yang mana ini tidak ada dalam perjanjian atau dalam aku janji mereka dalam pilihan raya.

“Mengapa mereka (Pakatan Harapan) menghabiskan masa rakyat membantah dan bermacam-macam lagi tetapi mereka langsung tidak melihat manifesto yang telah mereka janjikan kepada rakyat,” jelasnya.

Ditanya, apakah hala tuju UMNO dan BN genap setahun kekalahan pada PRU14 lalu, jawab Mohamad, dua teras menjadi keutamaan ketika ini.

“Pertama adalah kita sedang memperkasakan dan bangkit semula parti dan yang kedua adalah menyusun strategi untuk mengahadapi PRU15.

“Ini sedang kita reka bentuk dan sedang kita bina. Kita memulihkan dalaman parti dan salah satu hasrat kita di Sabah adalah memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah selain pindaan perlembagaan yang lain-lain,” katanya.

Justeru, jelasnya pindaan Perlembagaan UMNO yang akan dibuat pada November nanti akan turut membuka pintu keahlian seluas-luasnya.

Tok Mat berkata, kerjasama dengan parti-parti politik seperti Pas, STAR, SAPP, PBS dan lain-lain parti pembangkang lain menjadi antara strategi untuk mereka merampas kembali tampuk pentadbiran Kerajaan pada PRU15 nanti.