Tutup

Setuju poligami, tapi bukan suami sendiri - Kajian SIS

Setuju poligami, tapi bukan suami sendiri - Kajian SIS
Lebih 70 peratus wanita Islam bersetuju dengan poligami, namun hanya 32 peratus rela bermadu. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus wanita Islam bersetuju dengan poligami, namun hanya 32 peratus rela bermadu.

Hasil kajian Sisters in Islam (SIS) membabitkan 675 responden berumur dalam lingkungan 18 dan 55 tahun itu turut mendapati 97 peratus percaya seorang wanita harus taat kepada suami untuk dianggap sebagai isteri yang baik.

Selain itu, kajian juga mendapati 21 peratus responden percaya suami mempunyai hak untuk memukul isteri atas sebab nusyuz atau derhaka.

“Majoriti peserta kajian itu bersetuju ia dikira nusyuz jika -- isteri meninggalkan rumah tanpa keizinan suaminya, enggan berpindah dengan dengan suami (54 peratus), enggan melakukan hubungan seksual (52 peratus), enggan membuka pintu rumah kepada suami (50 peratus), dan enggan menjawab panggilan suami (46 peratus).
“Di bawah situasi sebegini, mereka percaya suami boleh memukul isteri masing-masing. Jadi sebagai isteri, wanita Muslim mengalami diskriminasi yang jauh lebih tinggi berbanding peranan yang lain,” menurut kajian bertajuk 'Persepsi dan Realiti: Hak peribadi dan awam wanita Muslim di Malaysia' yang dilancarkan semalam.

Atas sebab itu, Pengurus Program SIS Shareena Sheriff berkata badan berkenaan mengesyorkan agar pembuat polisi negara ini mengiktiraf kesamarataan dalam sesebuah keluarga sebagai sebahagian undang-undang keluarga Islam.
“Apa yang kami syorkan ialah sesebuah hubungan itu memberikan hak sama rata untuk lelaki dan perempuan dalam sesebuah keluarga, sesuatu yang sudah pun diamalkan di beberapa negara Muslim lain,” katanya yang memetik negara Maghribi dan Tunisia sebagai contoh.

Aktivis sosial terkenal Datin Paduka Marina Mahathir menjemput penggubal dasar untuk membaca tinjauan penuh yang dibuat SIS mengenai beberapa isu yang diketengahkan bagi mencapai perubahan dasar ke arah kesaksamaan jantina.

"Satu-satunya harapan saya adalah untuk mereka membaca laporan itu daripada menjawab tajuk-tajuk utama.

"Kajian itu menunjukkan apa yang diharapkan oleh wanita Islam dan apa yang berlaku kepada mereka dalam kehidupan sebenar serta ketidakupayaan mereka untuk mencabar realiti kehidupan," kata Marina kepada pemberita dalam persidangan 'Islam Unsurrendered: Women Rising Against Extremism' pada Selasa.

Beliau berkata dalam masyarakat seperti Malaysia di mana kepatuhan kepada mana-mana pihak berkuasa, sama ada suami atau kerajaan, dianggap normal, ia mengambil banyak usaha untuk wanita menentang pihak berkuasa, terutama apabila figura itu adalah seseorang yang rapat dengan mereka.

"Poligami dulu dilakukan secara senyap dan diam, sesuatu yang anda tidak bicarakan secara terbuka tetapi kini lelaki berbuat demikian kerana mereka berpendapat bahawa ini adalah tanda kuasa mereka," katanya.