Tutup

Shafee dakwa pertuduhan ke atas Najib bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara

Shafee dakwa pertuduhan ke atas Najib bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara
Shafee Abdullah mendakwa pihak pendakwaan membuat pusingan 'U' susulan pertuduhan ke atas anak guamnya. Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Peguam Bela Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa pihak pendakwaan membuat pusingan “U” susulan pertuduhan ke atas anak guamnya yang bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Dakwa beliau, sebelum ini,Najib disiasat kerana didakwa meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB selepas didedahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad 25 November lalu.
Bagaimanapun, dalam kertas pertuduhan pula, Najib didakwa mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan yang sedang disedia dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira Kira Wang Awam Negara PAC.

"Bukan pinda tetapi mengarahkan. Pindaan hanya boleh dilakukan dalam Laporan Akhir dan baru boleh buat pindaan. Tetapi pihak pendakwaraya sekarang berkata Najib tidak lakukan perkara itu tetapi membuat beberapa arahan semasa laporan 1MDB masih di peringkat draf. Bekas Ketua Audit Negara yang menyediakan laporan itu berkata tiada siapa yang arahkan beliau untuk membuat pindaan itu.”
Beliau berkata demikian kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.