Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa agar Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan menyeluruh bagi menyelesaikan kes kematian gajah Pygmy Borneo yang berterusan di negeri ini.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tidak memandang ringan isu berkenaan, tambah-tambah lagi apabila pesalah masih belum dapat dikenalpasti.

"Saya sedar, kerajaan sebelum ini melakukan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah ini, tetapi nampaknya ia masih terus berlaku.

"Saya tidak hanya akan mengungkapkan masalah ini melalui bibir sahaja tetapi ia akan disusuli dengan tindakan, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan individu mahupun pihak yang terbabit dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Shafie juga menyeru agar Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk mencari langkah penyelesaian berhubung isu ini.

"Saya juga telah mengarahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Christina Liew, untuk mendapatkan penerangan berhubung isu ini dan mencari langkah penyelesaian segera," katanya.

Untuk rekod, kes terkini kematian gajah di Sabah berlaku pada Sabtu lalu, di mana seekor anak gajah Pygmy Borneo dalam lingkungan tiga atau empat tahun ditemui mati di Sungai Kinabatangan.

Punca kematiannya masih belum dikenal pasti.