Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad meminta rakyat memberi sepenuh kepercayaan dan yakin terhadap kemampuan institusi negara dalam menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya percaya kepada anasir luar seperti media asing dan membuat spekulasi, sebaliknya perlu bersabar menanti keputusan yang dibuat institusi negara.

"Kita patut bersabar dan percaya kepada institusi di negara kita (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara) untuk siapkan kerja mereka. Kalau kita asyik percaya kepada dakwaan media luar dan orang asing, susahlah kita," katanya.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengagihan bantuan Aidilfitri UMNO Bahagian Johor Baharu kepada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan fakir miskin, di sini pada Sabtu.

Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu itu menyifatkan tuduhan yang dilakukan media asing terhadap 1MDB adalah disengajakan bagi melihat sejauh mana kekuatan institusi negara ini dalam menangani isu 1MDB.

Katanya sikap media asing yang memperlekeh negara membangun seperti Malaysia bukan perkara baharu bahkan berlaku sejak zaman pentadbiran perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Shahrir, sekiranya Malaysia mampu mengatasi situasi dan menjawab tuduhan rekaan berkenaan, maka Malaysia sekali gus akan dilihat matang sebagai sebuah negara demokrasi yang mempunyai institusi yang kuat.
"PAC sendiri juga sudah mulakan pendengaran dan panggil saksi, jadi, kita tunggulah hasil siasatan.

"Sebab itu, saya antara yang paling gembira bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kabinet setuju 1MDB dirujuk kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana ini satu keyakinan dalam institusi kita sendiri," katanya.