Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini, sebelum membebaskan mereka dengan jaminan.

Menurut kenyataan SPRM, Shahrir dan Ahmad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas dakwaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Shahrir yang ditahan pada jam 11.22 pagi berdepan satu pertuduhan manakala Ahmad yang ditahan pada 10.10 pagi berdepan dua pertuduhan.

Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.