Kenali Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed mulai 1 Ogos ini, Datuk Dzulkifli, 48 tahun, mempunyai pengalaman luas dalam kes jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram.

Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Dzulkifli memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Jenayah Perdagangan, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sejak 7 Jun 1993 hingga Februari 2002.

Beliau kemudian dilantik sebagai TPR Unit Terkelas dari Mac 2002 hingga Februari 2003.

Datuk Dzulkifli yang berkahwin dengan Datin Bitizela Mohd Bidin dan mempunyai dua anak seterusnya dilantik sebagai Ketua Unit Jenayah Perdagangan, dari 1 Nov 2010 hingga 14 Jan 2015.

Pada 15 Jan 2015 sehingga 11 Ogos 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Kes-kes Jenayah, dan pada 12 Ogos 2015 sehingga kini, beliau memegang jawatan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang mempunyai Diploma Syariah dan Amalan Guaman dari universiti sama banyak mengendalikan kes-kes berprofil tinggi, antaranya kes tipu dan pecah amanah melibatkan Lembaga Tabung Haji berjumlah RM200 juta dan kes seorang doktor wanita didakwa terhadap lapan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram lebih RM41 juta.

Datuk Dzulkifli yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang juga terlibat dalam kes bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, serta kes tipu berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam kenyataan pada Jumaat mengumumkan pelantikan Datuk Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.

Datuk Dzulkifli, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tan Sri Ali berkata selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.