PKR masih belum membuat keputusan siapakah yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menawan semula Putrajaya.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat bersama 39 Ahli Parlimen parti itu secara dalam talian pada Khamis, langsung tidak menyentuh isu berkenaan.

“Soal orang asyik tanya siapa calon PM, itu biar kita bincang dengan baik, kita (akan) putuskan tapi yang penting, bukan mengulangi kesilapan lama supaya dapat kita pegang kepada orang yang patuh janji.

“Pegang kepada orang yang tidak mengkhianati amanah, yang bersih, tidak terima rasuah dan yang dapat mengangkat agenda rakyat,” katanya dalam satu sesi Facebook Live beliau pagi ini.

Tambahnya, persidangan bersama semua ahli Parlimen itu juga tidak membincangkan desas-desus yang mengatakan seramai 129 ahli Parlimen menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar bagi membentuk kerajaan baru.

“Kita tidak bincang kerana hal ini masih dalam proses dan belum muktamad. Yang penting dalam perbincangan itu bukan soal nombor, bukan soal kuasa.

“Kita dah banyak kali berkuasa tapi pergi balik, pergi balik, jahanam juga rakyat, kepentingan rakyat. Yang paling penting adalah, mengikat kita dengan agenda ke arah kebaikan,” katanya.

Baru-baru ini, wujud khabar angin mengenai kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan sekali lagi berikutan dakwaan seorang penulis blog menyatakan Dr Mahathir dan Anwar mempunyai sokongan yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan dakwaan terbabit, PH kini mempunyai sokongan 129 Ahli Parlimen dan mereka akan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.