Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Siapa Panglima ATM baharu bakal terjawab 2 Jan ini

Siapa Panglima ATM baharu bakal terjawab 2 Jan ini
ATM akan diterajui oleh panglima yang baharu pada 2020 apabila Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (foto) akan bersara tidak lama lagi. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diterajui oleh panglima yang baharu pada 2020 apabila panglima yang ke-20 sekarang Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan bersara tidak lama lagi.

Persoalannya sekarang ialah siapa yang bakal dilantik sebagai Panglima ATM ke-21, adakah daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Berdasarkan rekod, sejak 2011, jawatan Panglima ATM diisi oleh pegawai tertinggi daripada Tentera Darat. Kali terakhir jawatan itu diisi oleh TUDM ialah pada 2009 menerusi Tan Sri Azizan Ariffin manakala TLDM pada 2005 menerusi Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Pelantikan jawatan nombor satu ATM ditentukan menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Panglima Tentera Darat sekarang ialah Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawi manakala Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Affendi, 57, telah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Dis 2016, manakala Ahmad Hasbullah, 58, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 3 Sept 2018 dan Mohd Reza, 56, dilantik sebagai Panglima TLDM pada 30 Nov 2018.

Bernama difahamkan tanda tanya siapa yang bakal dilantik menjadi Panglima ATM ke-21 akan terjawab pada satu majlis yang dijadual pada 2 Jan 2020.

Sementara itu, Zulkifli,61,anak kelahiran Port Weld, Perak dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 menggantikan Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Pada 26 Dis Zulkifli telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman sempena persaraannya itu.

Satu majlis makan malam rejimental penghargaan telah diadakan pada 18 Dis lepas sebagai tanda penghargaan ATM kepada Zulkifli atas perkhidmatannya.

-- BERNAMA