Pas Sabah menyifatkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina di negeri itu yang menerbitkan gambar yang diubahsuai untuk menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai biadap.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Sabah, Mustaman Mustain dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, akhbar itu diterbitkan pada 19 September lalu.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perbuatan akhbar itu yang dengan niat sengaja menyiarkan gambar berbentuk penghinaan.

"Penerbitan itu juga menggambarkan Panyatuan Ummah di antara Pas dan UMNO sebagai sesuatu yang 'ekstrim'.

"Justeru, kami akan menggerakkan seluruh Dewan Pemuda Pas Sabah untuk buat laporan polis terhadap akhbar terbabit. Selain itu, kami turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji permit akhbar tersebut," katanya.

Terdahulu, akhbar berkenaan menyiarkan sekeping artikel dengan foto yang disunting semula.

Gambar itu antara lain memaparkan Presiden Pas kelihatan memakai gaun pengantin wanita sambil berkopiah dengan diapit Presiden UMNO yang lengkap bersuit seolah-olah seorang pengantin lelaki.