Pemuda UMNO mengambil serius terhadap pendedahan yang dibuat oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Ahmad Murad mengenai kerugian mega besar dalam urusniaga matawang atau Forex Trading pada tahun 1991 yang telah membawa Bank Negara Malaysia ke tahap muflis.

Justeru, Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun mendesak pihak kerajaan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh segera untuk menyiasat dan mengesahkan bahawa Bank Negara telah muflis pada tahun tersebut.

"Kita juga mahu RCI menyiasat dan mengesahkan bahawa telah wujud satu usaha bagi menutupi fakta terhadap 'Forex Trading Exposures' sebanyak USD150 bilion dan 'Forex Trading Loss' yang melebihi USD30 bilion.

"Pemuda UMNO juga mahu siasatan dilakukan ke atas kedudukan kewangan Bank Negara sama ada kerugian sebenar Bank Negara adalah jauh lebih tinggi daripada kerugian yang telah diumumkan dalam laporan akaun sepanjang tahun 1991," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegas Khairul Azwan, tindakan itu dianggap satu jenayah yang perlu disiasat melalui penubuhan RCI bagi mencari mereka yang telah memanipulasi dan menyababkan Bank Negara muflis pada tahun 1991.

BACA: Kerugian akibat 'forex': Ia berlaku 25 tahun lepas - Bank Negara

BACA: Langkah-langkah baharu dilaksanakan BNM bantu stabilkan ringgit - Gabenor


Sebelum ini, kenyataan Bank Negara menjelaskan, laporan media tempatan berkenaan kerugian tukaran asing (forex) bernilai AS$10 bilion berlaku 25 tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, bank pusat tersebut menegaskan ia kini semakin kukuh, telus dan bertanggungjawab.

Tambahnya ia telah bergerak ke hadapan susulan daripada isu tersebut.