Kerajaan Negeri akan mengarahkan pihak Lembaga Pelancongan Sabah untuk menyiasat kegiatan bot pelancong yang dikendalikan secara haram oleh pengusaha daripada warga asing di daerah Semporna, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya sudah mengambil maklum mengenai perkara itu dan satu tindakan akan ambil dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau berkata, isu pengendalian bot pelancong tidak berlesen yang dikendalikan oleh pengusaha asing terutamanya daripada China itu dilihat sering berlaku di kawasan pelancongan di negeri ini.

"Saya juga ada diberitahu cerita ini, saya sudah arah Pengerusi Lembaga Pelancongan untuk melihat perkara ini.

"Diharap pada tahun ini aktiviti haram tersebut dapat diatasi kerana ramai pelancong datang pada tahun ini bukan sahaja daripada negara China, Taiwan, Hong Kong malah dari negara-negara Eropah juga.

"Jadi, kita akan pastikan industri dan sektor pelancongan di Sabah akan memberikan yang terbaik dan perkara yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Sabah, di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Seramai 7,000 hadirin menghadiri majlis tersebut yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, pada 21 Januari lalu, seramai 160 pengusaha pelancongan berlesen dan tidak berlesen telah menghadiri perjumpaan bersama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri (MOTAC) Sabah bagi mencapai kata putus untuk menghalang syarikat pelancongan tidak berlesen menggunakan jeti pelancongan yang juga merupakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Christina berkata, ia menunjukkan perpaduan yang berbilang kaum di negeri Sabah dalam meraikan setiap perayaan tanpa menimbulkan sebarang isu.

"Ini merupakan satu acara yang baik untuk orang Sabah kerana di Sabah tidak kira bangsa dan agama setiap kali ada hari istimewa kita berkumpul sama untuk meraikan bersama.

"Hari ini merupakan anjuran pertama oleh kerajaan negeri dan menerima respon amat baik, dan saya mengucapkan Gong Xi Fat Choi untuk tahun baharu dimana kerajaan dapat membuatkan rakyat jelata lebih gembira," katanya.