Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Alam Sekitar telah dikerah menjalankan siasatan segera berhubung laporan sebuah akhbar di United Kingdom kononnya berlaku lambakan plastik sampah yang menggunung dalam satu kawasan pedalaman hutan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata beliau amat terkejut dan hairan apabila membaca laporan berita Daily Mail yang membuat pendedahan bagaimana sampah sarap plastik itu boleh dibawa masuk ke dalam negara ini.

"Saya terkejut macam mana benda itu boleh masuk ke dalam negara, ia amat memalukan jika benar-benar berlaku.

"Saya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar dan agensi di bawah saya siasat dan tengok perkara ini, yang saya percaya mereka juga akan bertanya kepada PBT.

"Walaupun PBT bukan di bawah saya, tetapi saya yakin kerajaan negeri dan agensi di bawahnya akan dapat bekerjasama melihat serta mencari punca mengapa dan bagaimana lambakan itu boleh berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, pada Isnin.

Beliau mengulas laporan Daily Mail yang mendedahkan timbunan plastik sampah 20 kaki itu berasal dari bahan buangan sampah dari pasar raya di United Kingdom.

Aziz Bari seterusnya berkata beliau sedang menunggu laporan daripada PBT, MBI, Jabatan Alam Sekitar dan pihak pelabuhan berhubung perkara ini.