Masyarakat disaran supaya terus yakin terhadap kewibawaan serta ketelusan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr. Mustafa Ishak berpendapat, kesemua tokoh terlibat dalam proses menyiasat isu 1MDB adalah terikat dengan lafaz sumpah jawatan.

"Saya melihat keempat-empat tokoh dalam pasukan siasatan merupakan pegawai tinggi kerajaan yang terikat dengan sumpah jawatan mereka dan saya yakin mereka mengangkat perlembagaan dan undang-undang negara," kata Mustafa ketika dihubungi Astro Awani.

Empat tokoh berkenaan merujuk kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pada masa yang sama, beliau menyeru supaya rakyat memahami bahawa keempat-empat tokoh tersebut pastinya bertindak secara profesional.

Ini kerana kata Mustafa, institusi-institusi yang mereka wakili bukanlah cabang politik, tetapi mereka menerajui institusi-institusi penting dalam konteks kenegaraan.

"Mereka juga sentiasa komited memastikan institusi-insitusi yang mereka wakili dilihat tinggi dan dihormati,"

"Mereka pastinya meletakkan soal urus tadbir sebagai perkara paling penting sekaligus meletakkan kepentingan rakat dan negara mengatasi segala-galanya," ujar Mustafa.

Justeru itu, beliau berharap semua pihak tidak memberi tekanan kepada Pasukan Petugas Khas dalam melaksanakan tugas serta fungsinya untuk menyiasat dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri serta siasatan terhadap akaun isteri Perdana Menteri.

"Saya percaya bukan sahaja kita semua mahu melihat kebenaran dapat ditegakkan, malah institusi-institusi negara juga mahu melihat perkara sama," kata beliau.

Gesaan Mustafa dibuat ketika beberapa anggota kepimpinan tertinggi UMNO menyeru semua pihak melahirkan keyakinan terhadap Pasukan Petugas Khas.