Siasatan berhubung tindakan seorang penolong setiausaha sebuah masjid di Hilir Perak yang menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik, hampir selesai.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, siasatan juga menjurus kepada aspek keingkaran bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, JAIPk juga telah meluluskan pelantikan jawatankuasa masjid yang baharu bagi menggantikan pengurusan sebelum ini.

“Siasatan dijangka siap sedikit masa lagi dan pihak masjid juga telah mengemukakan laporan lengkap kepada kita bagi penelitian.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak menjunjung titah tuanku agar masjid tidak dijadikan gelanggang bagi mendapatkan laba politik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya di sini hari ini.

Pada 28 Mei lalu, JAIPk menggantung sementara jawatan Penolong Setiausaha Masjid Asaadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan kerana didakwa memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berucap di masjid itu.

Penggantungan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Peraturan 10 (2) Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak (2015).

Tindakan itu sejajar dengan teguran Sultan Nazrin supaya parti politik tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian, terutama sepanjang Ramadan.