Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) meletakkan siasatan ke atas video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri yang tersebar sejak dua hari lepas, sebagai satu keutamaan buat masa ini.

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata, pihak SKMM akan terus bekerjasama secara rapat dan telus dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai siasatan ke atas video bersiri itu.

"Pihak SKMM kesal dengan penyebaran video tersebut yang secara terang menyalahgunakan kemudahan teknologi untuk perkara yang tidak berfaedah.

"Saya harap masyarakat kita sedar yang menyebarkan video lucah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman," ujarnya.

Ditanya jika pihak SKMM dapat membuat pengesahan sama ada video itu benar atau palsu, Al-Ishsal memaklumkan perkara itu masih disiasat dan dinilai oleh pihak PDRM dan SKMM akan memberi bantuan seperti mana yang diperlukan.

Al-Ishsal berkata demikian ketika ditemui pada majlis 'The CEO Pledge For Telecommunication Sector' yang berlangsung di ibu pejabat SKMM di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, wakil-wakil dari syarikat telekomunikasi utama negara menandatangani dan menzahirkan ikrar mesra pengguna yang menyaksikan langkah perlindungan pengguna dinaik taraf melalui penambah baikan kod amalan pengguna.

Antara yang digariskan oleh kod ini ialah 90 peratus aduan diterima perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari bekerja, sementara bagi aduan-aduan kompleks, 15 hari.

Ia dijangka dikuatkuasakan pada suku akhir 2019.