Sibu dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020.

Ini sekaligus menjadikan negeri Sarawak sebagai tuan rumah sambutan tersebut buat kali kedua berturut-turut selepas sambutan di Stadium Perpaduan, Kuching, 16 September 2019.

Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan tersebut dijangka diadakan secara tertutup bagi mengawal jumlah pengunjung sekaligus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, tema itu dipilih sebagai cerminan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia ketika berjuang memerangi wabak COVID-19.

“Semua rakyat Malaysia termasuk kerajaan bersama-sama memerangi COVID-19 dan ini meliputi semua penjawat awam, swasta serta sukarelawan NGO (badan bukan kerajaan) mahupun orang perseorangan.

“Semestinya juga kepada petugas barisan hadapan yang berhempas pulas dan bertungkus lumus menangani COVID-19 ini,” kata Saifuddin.

Selain itu tambahnya, perkataan prihatin dipilih bagi melambangkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang ditunjukkan melalui pelbagai insiatif.

Ini termasuk Insiatif Prihatin Penjana dan sebagainya yang merangkumi aspek ekonomi kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Saifuddin berkata demikian ketika sidang media Hari Malaysia dan Majlis Pelancaran Logo Bulan Kebangsaan 2020 di Auditorium Bangunan Pelita, Kuching pada Jumaat.