Tiada keperluan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada kakitangan Parlimen dan petugas media menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual 13 Julai ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan hanya akan dibuat jika terdapat individu yang mempunyai gejala.

Serentak itu, beliau berkata pihak berkaitan disarankan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang Sidang Dewan Rakyat berlangsung

“Jadi, SOP yang kita tetapkan tidak termasuk ‘swab’, iaitu hanya sekiranya mereka ada gejala, baru kita jalankan ‘swab’.

“Bagaimanapun, saringan seperti mengambil suhu, pakai pelitup muka dan cuci tangan perlu dipatuhi oleh mereka yang ke Parlimen.

“Tetapi, untuk ujian ‘swab’ kepada semua orang, kita tidak akan lakukan seperti mana institusi-institusi lain. Kita hanya laksanakan jika ada gejala,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19, di sini, pada Jumaat.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari mulai 13 Julai.