Tutup

Sifat Ta'ayush dorong rakyat hidup inklusif, mengasihani - Dr Afifi

Sifat Ta'ayush dorong rakyat hidup inklusif, mengasihani - Dr Afifi
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2017 menasihati umat Islam agar berhati-hati ketika merujuk kepada maklumat agama yang diperoleh di Internet bagi mengelak terjerumus dengan fahaman pelampau.
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran bukan hanya sekadar mengamalkan sikap toleransi sebaliknya yang lebih penting adalah sikap saling menghormati antara satu sama lain yang juga dikenali sebagai Ta'ayush.

Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, Ta'ayush yang disebut ulama sebelum ini penting dalam memastikan rakyat hidup secara inklusif dan saling mengasihani.
"Kita perlu menghormati hak dan budaya orang lain dengan bukan hanya sekadar bersikap toleransi tetapi menghormati serta mengasihani antara satu sama lain," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.





Beliau yang jaga dikenali sebagai Orang Besar Lapan Perak itu menasihati umat Islam agar berhati-hati ketika merujuk maklumat mengenai agama menerusi internet bagi mengelak terjerumus dengan fahaman pelampau.

Kata beliau, di zaman ini, umat Islam terdedah dengan fahaman pelampau yang diperoleh melalui internet.

"Di zaman ini senang untuk sesiapa mendapat pedoman daripada internet seperti Tok Guru Google, Sheikh Google dan Maulana Google.

"Masalah itu dikhuatiri akan melahirkan golongan berfahaman ekstrim jika kita tidak berhati-hati," katanya.

Beliau juga memberi amaran agar umat Islam tidak terbawa-bawa dengan ajaran kumpulan yang mensyirikkan Islam sehingga sanggup membunuh.

"Kumpulan Daish hanya beranggapan mereka sahaja yang betul lalu mensyirikkan amalan dan pegangan sekali gus membidaahkan amalan yang sudah dibenarkan oleh para imam terkemuka," jelasnya.

Dr. Afifi merujuk kepada serangan terbaru kumpulan Daish ke atas sebuah masjid di utara Sinai, Mesir yang meragut 300 nyawa.

Tambahnya dunia Islam juga semakin ke hadapan, malah negara seperti Arab Saudi sudah mula menerima amalan yang pernah disifatkan haram sebelum ini, seperti menyambut Maulidur Rasul.

"Kita (di Nusantara) patut bersyukur yang mana kita sudah meraikan Maulidur Rasul sejak bertahun-tahun dahulu.

"Kini saudara kira di Arab Saudi mula mengikuti jejak langkah kita, jadi saya berharap orang-orang yang menentang akan berhenti menentang dan terus bergerak ke hadapan demi kejayaan ummah," jelas beliau.

Arab Saudi sebelum ini melarang sambutan Maulidur Rasul. Bagaimanapun bermula tahun ini Riyadh mengumumkan cuti umum sempena Maulidur Rasul.