Tutup

Sijil halal palsu, dapur berlipas antara sebab restoran diarah tutup

Sijil halal palsu, dapur berlipas antara sebab restoran diarah tutup
Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhammad Fauzan Ab Manap membuat pemeriksaan tahap kebersihan dan piawaian halal di sebuah restoran di Kepong hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR : Sebuah restoran yang beroperasi di Jalan Metro Perdana Timur 3 di Kepong, di sini, diarahkan tutup selama dua minggu kerana didapati beroperasi dalam persekitaran kotor.

Perkara itu dibongkar menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sekitar Kepong, hari ini.
Pengarah KPDNHEP WPKL, Ummi Nasrah Othman berkata, tiga buah premis telah diperiksa dalam operasi yang bermula jam 12.30 tengah hari.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail membuat pemeriksaan tahap kebersihan dan piawaian halal di sebuah restoran di Kepong hari ini. - BERNAMA
Menurutnya, di salah sebuah premis itu, didapati bahagian dapur serta stor makanan berada dalam keadaan tidak teratur dan banyak lipas berkeliaran.
"Pihak Jakim juga telah mengenakan amaran sebab, dia ada tanda halal tetapi tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh Jakim. Semakan juga mendapati dia tidak ada memohon pensijilan halal daripada Jakim ataupun Jawi.

"Di premis lain pula, ada restoran yang tidak mempamerkan sijil nombor pendaftaran SSM. Juga ada isu kebersihan, jadi pihak DBKL dan Jabatan Kesihatan telah memberi amaran untuk premis berkenaan ditutup," katanya kepada pemberita di premis terbabit, siang tadi.

Pekerja premis makanan di Jalan Metro Perdana Timur 3, Kepong menutup tanda halal di papan tanda perniagaan restoran tersebut selepas mendapat arahan daripada KPDNHEP dan Jakim selepas mendapati logo halal yang dipamerkan tidak menepati piawaian yang ditetapkan. - BERNAMA
Malah, Jawi turut mengeluarkan satu notis terhadap premis ini mengikut Seksyen 84 Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 kerana membuat pungutan khairat untuk madrasah.

Ketua Penguatkuasa Agama Jawi, Akmal Nadzim Abdullah berkata, pungutan khairat perlu mendapatkan kebenaran dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, pihaknya mengeluarkan amaran untuk premis ini kerana dibimbangi ada unsur penipuan. Jika sabit kesalahan, pemilik perniagaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, pihak kementerian turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada dua premis kerana gagal mempamerkan tanda harga.


Ummi Nasrah berkata, sepanjang operasi bermula dari 11 Januari hingga semalam, sebanyak 91 premis di ibu negara telah diperiksa di mana 79 restoran adalah milik India Muslim dan selebihnya restoran India, Cina Muslim dan tomyam Thailand.

Tambahnya, pihaknya telah mengesan dua kes salah guna logo halal yang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan representasi palsu yang ada unsur perdaya.





Tag: restoran mamak, logo halal



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.