Sik menjadi daerah terbaru dilanda banjir di negeri ini, susulan air mula naik pada jam 12 tengah malam tadi, setinggi 2 hingga 3 meter, limpahan dari air Sungai Chepir.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Sungai Pau, Kampung Charok Padang Dalam, Kampung Charuk Pelanduk, Kampung Tanjung Besar, Kampung Titi Semang dan Kampung Kemelong.

Bagaimanapun, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Lt Haisul Aishah Mohd Napiah, sehingga jam 10 pagi ini, tiada pusat penempatan banjir dibuka.

Jelasnya, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Sik kini sedang memindahkan barangan mangsa ke tingkat atas rumah.

"Kesemua mangsa belum dipindahkan memandangkan rumah mereka masih boleh diduduki di bahagian atas.

"Bagaimanapun, sekiranya hujan turun pada petang nanti, dengan keadaan yang lebat, mungkin pusat pemindahan akan dibuka dan mangsa diarahkan berpindah," katanya.

Pemantauan oleh anggota APM kini sedang dilakukan di kawasan terlibat banjir.