Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan agar rakyat negara ini sentiasa menerapkan nilai-nilai murni bagi mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, sikap setiakawan, bersatu dan tidak mempunyai prasangka hendaklah menjadi sesuatu yang sinonim dengan rakyat negara ini.

Ujarnya, ia termasuk tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial.

“Rakyat Malaysia perlu lebih matang dalam membuat penilaian apabila berhadapan dengan ancaman – ancaman yang mampu memecah-belahkan perpaduan.

“Rakyat juga harus menolak fahaman sempit daripada suara-suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman dengan menimbulkan isu perkauman,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Festival Merdeka #Perpaduan Dihati 2019 di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Tambah Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, kesejahteraan negara tidak akan tercapai sepenuhnya jika aspek kesatuan masyarakat tidak dapat dijaga dan dimantapkan dengan baik.

“Usaha untuk memupuk perpaduan dikalangan masyarakat ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya, saling hormat-menghormati antara satu sama lain, menghayati keunikan yang ada di Malaysia, dan bersikap toleransi di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama,” katanya lagi.

Program Festival Merdeka #perpaduandihati merupakan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan BT Golden Times Services.

Ia bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena meraikan sambutan bulan Kebangsaan ke-62.

Terdahulu, Wan Azizah hadir pada Program Gotong-Royong cegah Denggi di Pangsapuri 610, Pandan Indah.