Silat, salah satu seni mempertahankan diri Melayu, hari ini diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi Malaysia.

Pengiktirafan tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak dalam ucapan rasmi Himpunan Silat Pesaka Merdeka 2015 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

"Sebagai hadiah, pengiktirafan, dan penghargaan atas kesetiaan pesilat-pesilat negara ini, silat diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara," kata Najib.

Jelas Najib, sebagai perdana menteri beliau mahu melihat persilatan Melayu terus dikembangkan kepada setiap sudut, termasuk di pejabat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan universiti.

"Kita mahu dunia persilatan Melayu diangkat darjah dan maruahnya," tambah Najib.

Turut Hadir Pengerusi Pesaka, Tan Sri Ali Rustam, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim Dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan serta Guru Utama Dewan Perguruan Pesaka, Datuk Maidden Kadir Shah.