Tutup

Simpanan air Pulau Pinang turun 25 peratus, penduduk diminta kurangkan penggunaan

Simpanan air Pulau Pinang turun 25 peratus, penduduk diminta kurangkan penggunaan
PBAPP meminta penduduk tempatan menggunakan air secara berhemat berikutan keadaan cuaca kering sejak awal Januari lepas. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) meminta penduduk di negeri ini menggunakan air secara berhemat berikutan keadaan cuaca kering sejak awal Januari lepas.

Kapasiti efektif di Empangan Air Itam dekat sini telah menurun hampir 25 peratus dalam tempoh 48 hari apabila hanya 67.3 peratus dicatatkan semalam berbanding 92.2 peratus direkodkan pada 1 Jan lepas.
"Taburan hujan yang rendah adalah sebab utama penurunan dramatik dalam kapasiti efektif empangan ini. Empangan ini mencatatkan hanya 94mm hujan (antara 1 Jan lepas dan 18 Feb)," kata Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Empangan Teluk Bahang pula hanya mencatatkan peningkatan 0.3 peratus apabila kapasiti efektifnya berada pada paras 79.1 peratus pada Isnin berbanding 78.8 peratus pada hari pertama tahun ini.
Jaseni juga berkata purata pengambilan air harian daripada kapasiti efektif Empangan Air Itam meningkat antara 0.40 peratus dan 0.64 peratus dalam tempoh 1 Jan dan 18 Feb tahun ini, berbanding hanya 0.15 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.

"Tahap penggunaan air yang tinggi ini agak gawat, terutama apabila simpanan air mentah di Empangan Air Itam mengalami penurunan yang ketara. PBAPP memohon kerjasama dan timbang rasa dari semua pengguna ... sila kurangkan penggunaan air harian anda dengan segera," katanya.

Sementara itu, Bernama dalam tinjauannya dimaklumkan simpanan air mentah di Empangan Air Itam boleh bertahan sehingga 66 hari sementara Empangan Teluk Bahang pula selama 239 hari.

Amaran peringkat awal akan dikeluarkan sekiranya kapasiti efektif di empangan-empangan berkenaan menurun ke tahap 50 peratus. -- Bernama


Tag: bekalan air, pulau pinang, air, PBAPP, Empangan Teluk Bahang, catuan air



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.