Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM144.9 juta selepas tangkapan terhadap sembilan individu di beberapa kediaman sekitar Kuala Lumpur.

Dalam serbuan pada semalam dan kelmarin, JSJN merampas dadah jenis syabu seberat 309.8 kilogram (kg), heroin belum diproses (heroin base) (12.7 kg), pil ekstasi (637.7 kg), pil Erimin 5 (564.8 kg), ketamin (3.4 kg) dan kokain (6.5 kg).

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, hasil serbuan di sebuah rumah teres dan dua kondominium sekitar Kepong, Selayang dan Sentul membawa kepada penangkapan lapan individu tempatan termasuk seorang wanita dan seorang lagi wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 50 tahun.

“Lima lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia itu didapati positif dadah syabu, ketamin dan benzo hasil ujian saringan air kencing," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Abdul Hamid berkata, kesemua hasil rampasan dadah itu mampu untuk dibekalkan kepada 6.5 juta pengguna.

Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati dua lelaki daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Antara rampasan lain ialah dua pucuk pistol dengan 150 butir peluru selain empat buah kereta, sejumlah wang tunai mata wang asing dan tempatan, jam tangan, pelbagai barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM400,330.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi hampir setahun.

Kesemua mereka yang ditahan direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.