Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan tertangkapnya 34 warga China, dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan ke atas tiga kediaman di Seremban 2, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata kesemua suspek termasuk sembilan wanita yang berusia 25 hingga 32 tahun, ditahan sepasukan anggota pada pukul 4.30 petang, hasil risikan dan maklumat awam.

"Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 18 buah komputer termasuk satu komputer riba, 83 unit telefon bimbit, lima pasport negara China, sebuah kereta jenis Toyota Vellfire, serta pelbagai barangan lain.

"Analisa awal terhadap komputer dirampas yang dijalankan empat pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di lokasi serbuan, mengesahkan adanya kegiatan perjudian secara dalam talian melibatkan pemain warga China," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketiga-tiga kediaman teres dua tingkat itu, disewa sindiket terbabit dipercayai pada 3 Jan lepas, manakala kenderaan yang disita didapati didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa.

"Kesemua suspek direman 14 hari di bawah Akta Imigresen," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan di bawah Akta Imigresen 1959 iaitu kesalahan melanggar syarat pas lawatan, dan juga tiada dokumen perjalanan serta Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

-- BERNAMA