Tutup

Sindiket lori kebal: 9 penguat kuasa JPJ didakwa esok

Sindiket lori kebal: 9 penguat kuasa JPJ didakwa esok
SPRM tahan sembilan penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa sembilan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
Menurut sumber, pada 16 April lalu, kesemua lelaki yang berusia diantara lingkungan 32 hingga 46 tahun telah ditahan SPRM kerana dipercayai menerima bayaran berjumlah kira-kira RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sejak 2016 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain membocorkan maklumat operasi JPJ.

Tambah sumber lagi, SPRM juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi yang akan didakwa.
Katanya, pada April lalu, SPRM telah menahan seramai 79 individu dan daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, kesemua penguat kuasa JPJ gred 19 sehingga 22 tersebut bakal didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth pagi esok mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dengan 162 pertuduhan.


Tag: Sindiket lori kebal, 9 penguat kuasa JPJ didakwa esok, SPRM, Peguam Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.