Polis menahan lapan individu termasuk empat warga tempatan dipercayai dalang kepada sindiket pecah rumah yang aktif di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, kesemua suspek tiga lelaki dan lima wanita itu berusia 28 hingga 59 tahun dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak 2019.

"Kesemua suspek berjaya ditahan selepas laporan polis dibuat pada 4 Mei lalu oleh seorang wanita Pengurus Akaun di sebuah firma guaman berhubung kejadian pecah pejabat di Plaza Damansara, Bukit Damansara.

"Kerugian yang dialami dianggarkan bernilai RM67,000 dan antara barangan yang didapati hilang adalah komputer riba, monitor komputer, telefon bimbit, central processing unit (CPU), kamera dan wang tunai," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata melalui hasil risikan polis telah membuat tangkapan seorang lelaki dan dua wanita tempatan berserta seorang lelaki warga Rohingya, dan tiga wanita masing-masing warga China, Bangladesh dan Indonesia di sebuah rumah di Klang, Selangor.

Hasil tangkapan ini seterusnya telah membawa kepada satu lagi tangkapan lelaki tempatan di sebuah perumahan flat Kuala Lumpur pada 1 Jun lalu.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Browning 9mm, dua butir peluru, tiga bilah parang, empat bilah pisau, 13 buah telefon bimbit, dua unit televisyen LCD, tiga buah komputer riba, monitor komputer, kamera, pemain DVD, radio kereta, alat pembesar suara dan pelbagai peralatan pecah rumah yang kesemuanya bernilai RM20,000.

"Semakan terhadap kesemua tangkapan mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai 14 rekod jenayah lampau bagi kes dadah, Seksyen 379 (a) dan 380 Kanun keseksaan manakala dua suspek wanita tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 372 (b) Kanun Keseksaan dan satu rekod di bawah Seksyen 379 (a).

"Kumpulan ini mensasarkan pejabat dan rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang dengan melarikan barangan berharga untuk dijual semula kepada pihak ketiga dengan harga yang murah," jelasnya.

Tambah beliau, polis sedang giat mengesan saki-baki kumpulan ini

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kumpulan ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.