Walaupun dunia berdepan pandemik COVID-19 yang amat mudah merebak, sindiket pelacuran tidak mempedulikannya malah masih aktif menawarkan perkhidmatan haram berkenaan.

Serbuan pihak berkuasa di banyak lokasi di beberapa negeri sejak kebelakangan ini membongkar kegiatan berkenaan yang jelas masih mendapat permintaan.

Terbaharu, polis Johor menahan 13 wanita pelbagai kerakyatan dan seorang lelaki rakyat Myanmar dalam serbuan di dua hotel dan sebuah kondominium di pusat bandar raya Johor Bahru pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua wanita yang dipercayai pelacur itu melibatkan enam rakyat Vietnam, Thailand (empat), Filipina (dua) serta Indonesia (satu).

"Menerusi kesemua serbuan terbabit juga, polis merampas 38 kondom, 10 telefon bimbit, 11 tuala, 10 botol minyak pelincir, serta wang tunai RM6,090," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ayob Khan berkata kesemua mereka kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, serta Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya turut menahan 16 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita rakyat Indonesia, dalam 18 serbuan di beberapa daerah di negeri ini kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan perjudian.

Kesemua mereka yang ditahan berumur di antara 20 dan 39 tahun.

Menurut Ayob Khan, serbuan berkenaan turut merampas 18 telefon bimbit, enam mesin pencetak, 43 helai kertas catitan, serta wang tunai RM2,201.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) dan Seksyen 4 (a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953.