Sindiket tipu dan jual kad UNHCR palsu tumpas

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 11, 2019 22:13 MYT
Dalam serbuan itu, polis juga turut merampas sebuah komputer riba dan pencetak yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan mereka termasuk telefon bimbit serta pelbagai dokumen peribadi. - Foto PDRM
Polis menumpaskan sindiket penipuan mencetak dan menjual kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu di Pulau Pinang dengan tertangkapnya dua lelaki warga Rohingya.
Lelaki berusia 27 dan 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat dekat Bukit Tengah, Bukit Mertajam kira-kira jam 9 malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, memaklumkan siasatan mendapati suspek melakukan aktiviti itu sejak enam bulan lepas sebaik sahaja menyewa rumah tersebut.
Sindiket berkenaan dipercayai menjual kad UNHCR kepada warganegara Myanmar yang tiada pengenalan diri antara RM50 hingga RM300.
Pemeriksaan ke atas rumah yang didiami suspek menemui 42 keping kad UNHCR atas pelbagai nama dan 25 keping kad yang masih belum dicetak sepenuhnya.
Dalam serbuan itu, polis juga turut merampas sebuah komputer riba dan pencetak yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan mereka termasuk telefon bimbit serta pelbagai dokumen peribadi.
Nik Ros Azhan berkata, kesemua kad UNHCR yang dirampas itu dihantar ke Unit Perlindungan, UNCHR di Kuala Lumpur untuk pemeriksaan ketulenan.
Kesemua barangan yang dirampas dihantar ke Unit Forensik untuk dianalisa.
Kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 24 Julai ini untuk siasatan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
#Imigresen #kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian #kad UNHCR #Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid #pelarian #polis #Rohingya #Seberang Perai #siasatan #suspek