Singapura optimis perbincangan mengenai isu-isu berkaitan dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) dapat dimuktamadkan menjelang tarikh akhir 31 Julai, 2020.

"Maklumat lebih terperinci akan diumumkan pada masa hampir kepada tarikh itu," kata seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan republik itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata kedua-dua negara 'telah berbincang dengan aktif' projek RTS yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong yakin perbincangan aktif yang sedang berlangsung antara pegawai kedua-dua negara berkaitan RTS akan dapat memuktamadkan perjanjian dua hala dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata demikian dalam kemas kini entri laman Facebooknya berkaitan panggilan telefon kepada Perdana Menteri Singapura itu bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan Lee, Parti Tindakan Rakyat (PAP), memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung pada 10 Julai.

Dalam perbualan itu, projek RTS turut disentuh oleh kedua-dua pemimpin.

-- BERNAMA